Kementerian Koperasi dan UKM Indonesia sambut baik usaha USANITA

JAKARTA: Delegasi usahawan wanita Malaysia mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Koperasi dan Usaha Kecil dan Menengah Republik Indonesia, Bapa Teten Masduki di pejabatnya pada Khamis.
Usawahan-usahawan Malaysia itu diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif USANITA Sdn Bhd, Datuk Adzliana Prof Datuk Sri Dr Hasan.
Adzliana berkata, pertemuan hampir sejam itu tertumpu kepada perbincangan untuk kolobrasi bersama dalam bidang keusahawanan termasuklah program ‘Bridge to Brilliance’ yang dianjurkan oleh pihaknya.
“Bapa Teten telah mendengar dan menyambut baik konsep program “Bridge to Brilliance” yang dibentangkan oleh kami.

“Beliau melihat pelaksanaan program ini merupakan satu bentuk kerjasama yang baik memandangkan Indonesia juga sangat giat membangunkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negaranya.
“Program ini merupakan satu usaha untuk menghubungkan Usahawan-usahawan Kecil dan Menengah (UKM) di Indonesia; kalau di Malaysia kita panggil Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Adzliana berkata, usahawan daripada kedua-dua negara akan bersama-sama berkongsi idea digital, pengurusan masyarakat tanpa tunai (cashless) serta peluasan pasaran dalam program padanan ini.
Katanya, kelebihan Indonesia adalah mereka mempunyai kekayaan natural resources serta populasi rakyat yang besar.

“Saya dan Bapak Teten berkongsi hasrat yang sama. Kami ingin melihat Malaysia dan Indonesia berganding bahu dalam membangunkan sosioekonomi masyarakat antara dua negara di rantau Asean ini.
“Pertemuan ini telah mencapai matlamat USANITA untuk menjalinkan kerjasama dengan Indonesia dalam membangunkan usahawan di kedua-dua negara,” katanya.
Tambahnya, USANITA telah dijemput untuk hadir pada Program Rasmi Usahawan Indonesia pada 28 November ini yang akan melibatkan lebih 120 pemain industri pemula.
Berdasarkan Global Entrepreneurship Monitor, jumlah usahawan wanita di Indonesia mencapai 14 peratus daripada populasi Indonesia.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *