AYER KEROH: Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) MADANI yang dianjurkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersama kerajaan negeri, akan diberi nafas baharu pada penganjurannya, tahun hadapan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata ia sejajar dengan penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) yang sekali gus dapat membantu kerajaan negeri menarik pelancong bertandang ke negeri berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya akan mengemukakan kertas cadangan kepada Kabinet berhubung cadangan berkenaan.
“Secara tradisinya penganjuran Showcase SDSI ini diadakan di Melaka dan kita tiada halangan untuk meneruskan program itu (tahun hadapan) kerana kita mahu membantu kerajaan negeri mempromosikan TMM2024.
“Penganjuran showcase pada tahun ini, sedikit sebanyak memainkan peranannya dengan menghebahkan lebih awal kepada masyarakat umum mengenai penganjuran TMM2024 tahun hadapan,” katanya selepas merasmikan Showcase SDSI MADANI peringkat kebangsaan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.
Showcase SDSI Madani peringkat kebangsaan itu berlangsung selama tiga hari, berakhir esok.
Sebanyak 14 ruang pameran dan jualan membabitkan produk keluaran semua negeri di seluruh negara disediakan sepanjang program itu berlangsung.
Yang turut hadir, EXCO Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin; EXCO Kesihatan, Perpaduan dan Sumber Manusia negeri, Ngwe Hee Sem dan Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Suriani Ahmad.
Ewon berkata, pihaknya menjangkakan seramai 20,000 pengunjung dengan potensi jualan tunai sejumlah RM100,000 sepanjang penganjuran showcase berkenaan.
Katanya, KUSKOP turut mengunjurkan potensi jualan daripada program padanan dan potensi pembiayaan, masing-masing berjumlah RM3 juta melalui program Biaya Usahawan.
“Untuk showcase kali ini, 146 usahawan SDSI dari seluruh negara bagi pameran Jualan Usahawan SDSI, membabitkan empat kluster iaitu produk makanan, inap desa, kraf serta produk dan perkhidmatan kesihatan.
“Program ini bertujuan untuk menyediakan medium pemasaran produk dan perkhidmatan SDSI yang berkualiti, meningkatkan imej produk, memberi pendedahan kepada umum bahawa keluaran SDSI sangat berpotensi dan berkualiti.
“Selain itu, tujuan lain adalah memperluaskan rantaian perniagaan kerana menerusi platform ini akan memberi peluang kepada KUSKOP dan kerajaan negeri untuk menyampaikan maklumat berhubung perkhidmatan keusahawanan dan koperasi menerusi taklimat, pameran kepada usahawan, koperasi dan komuniti setempat,” katanya.
Sumber: bharian.com.my